Kewajipan Muslim Terhadap Masa
Saudara-saudara sidang Jumaat yang dimuliakan,
Setiap fardhu serta segala adab-adab kesopanan yang terkandung di dalam ajaran Islam, telah membuktikan betapa penting setiap detik peredaran masa di dalam kehidupan seorang Muslim.
Jika kita lihat situasi di sepanjang kehidupan seorang Muslim, ia penuh dengan ibadat solat. Dimulai dari terbit fajar subuh, hinggalah hilang cahaya sinaran sang suria dari penglihatan. Masa demi masa berlalu, sehingga datangnya...
Kewajipan Muslim Terhadap Masa
Saudara-saudara sidang Jumaat yang dimuliakan,
Setiap fardhu serta segala adab-adab kesopanan yang terkandung di dalam ajaran Islam, telah membuktikan betapa penting setiap detik peredaran masa di dalam kehidupan seorang Muslim.
Jika kita lihat situasi di sepanjang kehidupan seorang Muslim, ia penuh dengan ibadat solat. Dimulai dari terbit fajar subuh, hinggalah hilang cahaya sinaran sang suria dari penglihatan. Masa demi masa berlalu, sehingga datangnya pula seruan untuk melaksanakan tuntutan solat beramai-ramai iaitu solat Jumaat. Bahkan ditambah pula lagi dengan dengan solat-solat sunat yang dapat dilaksanakan sepanjang masa. Ini membuktikan bahawa setiap individu Muslim itu tidak lepas hubungannya dengan Allah s.w.t dalam setiap detik kehidupannya.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Masa atau waktu amat penting dalam kehidupan manusia. Jika orang yang bukan Islam begitu menjaga masa dengan menjadikan kebahagian di dunia sebagai matlamat hidup mereka, maka setiap muslim pula berkewajipan menjaga masanya dengan penuh teliti agar setiap waktu yang dilaluinya dapat meningkatkan prestasi iman, amalan serta dapat pula menyumbang ke arah pembangunan umah.
Para sahabat generasi pertama umat Islam adalah orang yang sangat menjaga masa mereka. Hingga mereka beranggapan kepada orang yang membuang masa percuma sebagai orang yang telah mengkufuri nikmat. Adalah suatu perkara yang amat menyedihkan apabila melihat pembaziran masa yang berlaku di kalangan ummah Islamiah yang yang tidak matang dalam mentadbir masa mereka. Berjam-jam menghabiskan masa di depan kaca tv atau internet, hingga lupa soal halal atau haram serta segala kewajipan dunia dan akhirat. Fenomena ini merupakan contoh yang paling hampir dalam kehidupan kita. Mereka-mereka ini boleh digolongkan sebagai orang yang telah menganiayai diri sendiri kerana tidak sedar akibat dari pembaziran masa.
Sidang Jumaat sekalian,
Antara nikmat yang ramai manusia lalai, ialah nikmat kelapangan. Sabda Rasulullah s.a.w :
Bermaksud: " Dua nikmat di antara nikmat-nikmat Allah yang kebanyakan manusia lalai: iaitu masa sihat dan masa lapang."
Sebagai orang yang beriman, kita berkewajipan untuk menilai dan menghargai setiap detik masa yang kita lalui. Setiap waktu hendaklah diisi dengan pekerjaan yang mendatangkan kebaikan sekadar termampu, sama ada urusan yang berkaitan dengan dunia mahu pun akhirat, sebelum datangnya masa kesibukan atau kesusahan. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 148:
Bermaksud: Bagi semua kaum ke arah mana pun mereka menghalakan muka, Dialah (Allah) Tuhannya. Maka berlumba-lumbalah kamu semua mengerjakan kebaikan. Di mana sahaja kamu berada pasti Allah akan mengumpulkan kamu semua.
Bagi memastikan setiap warga Muslim itu benar-benar dapat menjaga kualiti masa mereka, Islam secara dasarnya telah membantu umatnya dengan memberi panduan Bagi mengatur jadual hariannya, sama ada urusan dunia atau pun akhirat. Dalam sebuah hadith Rasulullah bersabda yang maksudnya:
Sewajarnya setiap orang yang akal fikirannya sempurna, hendaklah dia membahagikan masa-masanya kepada empat waktu:- i. Waktu bermunajat (berzikir) kepada tuhannya ii. Waktu untuk bermuhasabah (koreksi) tentang dirinya iii.Waktu untuk dia berfikir berhubung dengan ciptaan Allah iv. Waktu untuk mencari keperluan hidup
Setelah kita melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diberikan, sewajarnya jugalah kita mengambil sedikit masa untuk beristirehat dengan bersuka-suka menghiburkan jiwa dengan perkara-perkara yang dibolehkan syara'. Sayyidina Ali ada berkata:
Yang bermaksud " Berilah kerehatan kepada hati untuk beberapa ketika. Maka sesungguhnya hati jika dipaksa dia akan menjadi buta"
Sidang Jumaat sekalian,
Biar pun detik-detik masa berlalu, namun setiap dari kita janganlah lupa dan mengabaikan tanggungjawab kita terhadap 10 perkara yang telah dijelaskan oleh Allah di dalam firmannya yang berbunyi:-
Yang bermaksud: "Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukanNya dengan sesuatu pun. Dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa , kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran yang berdekatan, jiran yang jauh, teman sejawat,pengembara dan hamba sahayamu" (An-Nisa': ayat 36)
Marilah sama-sama kita panjatkan doa kepada Allah semoga sisa-sisa usia yang kita jalani ini diberkati Allah serta dapat melaksanakan hak-hak waktu mengikut sistem hidup yang telah digariskan oleh Islam.
"Ya Allah! Janganlah biarkan kami di dalam kesesatan. Dan janganlah ambil kami di waktu lalai. Dan janganlah jadikan kami dari golongan yang lalai ".
Baarakallah.....
-MUIS-
"Udep Sare Mati Syahid"