ALOR STAR: Tiga lelaki wakil sebuah syarikat jualan langsung berlesen dipercayai menipu orang ramai melalui peraduan `Gores dan Menang' ditahan Bahagian Penguatkuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah, kelmarin.
Ketika ditahan, tiga lelaki berusia dalam lingkungan 20-an itu dikatakan sedang menggores kad peraduan terbabit bersama seorang suri rumah berusia 24 tahun di Taman Jalai Jaya, Kepala Batas, dekat sini.
Timbalan Pengarah KPDNHEP negeri, R...
ALOR STAR: Tiga lelaki wakil sebuah syarikat jualan langsung berlesen dipercayai menipu orang ramai melalui peraduan `Gores dan Menang' ditahan Bahagian Penguatkuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah, kelmarin.
Ketika ditahan, tiga lelaki berusia dalam lingkungan 20-an itu dikatakan sedang menggores kad peraduan terbabit bersama seorang suri rumah berusia 24 tahun di Taman Jalai Jaya, Kepala Batas, dekat sini.
Timbalan Pengarah KPDNHEP negeri, Razali Lebai Salleh berkata, selepas menerima maklumat kegiatan itu, sepasukan tujuh penguat kuasa diketuai Zulkiffli Yaakob mengadakan serbuan di rumah terbabit kira-kira jam 5.20 petang.
Menurutnya, ketika serbuan dibuat, suri rumah berkenaan sudah menyerahkan wang pendahuluan sebanyak RM200 selepas dimaklumkan menerima hadiah sebuah mesin memproses makanan seperti yang tertera pada kad itu.
Katanya, dalam serbuan itu, selain menahan lelaki berkenaan, pihaknya juga merampas 11 barangan elektrik seperti alat pemanas air, mesin pengurut kaki dan mesin hampagas yang berjumlah kira-kira RM4,997.
“Kita turut merampas sebuah van bernilai RM200,000, tiga kad cabutan istimewa, 64 keping kupon cabutan serta sampul surat kosong untuk siasatan lanjut,†katanya dalam sidang media, di sini semalam.
Razali berkata, siasatan juga mendapati syarikat beribu pejabat di Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu mempunyai lesen sah dan mempunyai empat cawangan di Alor Star, Terengganu, Johor Bahru serta Kuala Lumpur.
Menurutnya, selain menawarkan hadiah berbentuk barangan, syarikat berkenaan juga dikatakan menawarkan hadiah seperti kereta Naza Kia, tiket melancong ke Makkah dan China serta motosikal Jaguh.
Katanya, siasatan awal juga mendapati syarikat itu yang beroperasi di kawasan perindustrian di Tandop, dekat sini, pernah dikenakan tindakan dan disiasat beberapa kali kerana kesalahan sama.
“Siasatan mendapati mereka melakukan dua kesalahan iaitu mengambil deposit daripada orang ramai 10 hari sebelum barangan diterima dan tidak menyerahkan barangan yang dijanji dalam tempoh 72 jam.
“Bagi kesalahan ini, syarikat itu akan didakwa mengikut Akta Jualan Langsung 1993 yang jika sabit kesalahan boleh didenda sebanyak RM100,000 manakala kesalahan berikutnya boleh didenda RM250,000,†katanya.
Beliau berkata, syarikat berkenaan turut melakukan kesalahan mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999 kerana menggunakan kad gores bagi menawarkan hadiah yang tidak bermaksud memberi hadiah ditawarkan.
“Mengikut akta ini, jika sabit kesalahan, syarikat terbabit boleh didenda sebanyak RM250,000 manakala bagi individu, lelaki itu boleh didenda sebanyak RM100,000 atau tiga tahun penjara,†katanya.
Beliau juga menasihatkan orang ramai berhati-hati apabila didatangi ejen atau wakil syarikat jualan langsung yang menawarkan peraduan cabutan bertuah bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.
“Ejen ini biasanya akan menawarkan pelbagai hadiah istimewa bagi menarik perhatian pengguna terutama suri rumah atau warga emas dan mengambil wang pendahuluan terlebih dahulu sebelum menghilangkan diri,†katanya