Mahkamah pemutus mutlak pembahagian harta
Sambungan semalam
BEBERAPA hakim mahkamah sivil berpendapat harta sepencarian termasuk dalam adat Melayu dan bukannya bersumber daripada perundangan Islam. Hakim terbabit membuat keputusan pembahagian harta sepencarian berdasar adat Melayu kerana adat itu menjadi amalan dalam masyarakat Melayu.
Sungguhpun begitu, Ibn Nujaim dalam bukunya Al-Asybah Wa-Naza’ir menjelaskan, pada umumnya adat yang tidak bertentangan dengan Islam, ad...
Mahkamah pemutus mutlak pembahagian harta
Sambungan semalam
BEBERAPA hakim mahkamah sivil berpendapat harta sepencarian termasuk dalam adat Melayu dan bukannya bersumber daripada perundangan Islam. Hakim terbabit membuat keputusan pembahagian harta sepencarian berdasar adat Melayu kerana adat itu menjadi amalan dalam masyarakat Melayu.
Sungguhpun begitu, Ibn Nujaim dalam bukunya Al-Asybah Wa-Naza’ir menjelaskan, pada umumnya adat yang tidak bertentangan dengan Islam, adalah diterima sebagai sebahagian daripada peraturan dan perundangan bagi sesebuah negara.
Al-Sayuthi dalam kitabnya Al-Asybah Wa-Naza’ir juga menyebut ‘al-Adah al-Muhakkamah’, iaitu adat, diakui perkara yang menjadi kebiasaan bagi orang ramai atau segolongan daripada mereka dan dilakukan dengan berulang-kali dari masa ke semasa.
Syeikh Abu Abdullah Al-Pasi, seorang penyusun kitab kamus, berkata adat itu adalah perkara tetap dalam diri manusia daripada perkara yang diulang-ulang lagi logik pada sisi tabiat yang sejahtera.
Pandangan bahawa adat sebagai satu sumber perundangan, bersesuaian dengan Hadis Qudsi yang bermaksud: ‘Apa-apa yang dipandang baik oleh orang Islam, maka baik juga di sisi Allah dan perkara yang dilihat oleh orang Islam, maka demikian jugalah di sisi Allah (Riwayat Ahmad Hambal, Masnad Ahmad Ibn Hambal).
Pengiktirafan adat sebagai sumber perundangan Islam dijelaskan melalui kaedah fiqh dan diterangkan dengan jelas dalam kitab Al-Asybah wa-Nazair oleh As-Sayuthi dan Ibn Nuajim.
Kedua-dua pengarang mengumpul kaedah fiqh, antaranya adat mengambil tempat hukum, amalan manusia menjadi pegangan, hujah yang wajib diikuti atau sesuatu yang diterima mengikut adat samalah kedudukan seperti sesuatu yang dibuat mengikut syarak.
Oleh itu, berdasarkan pemakaian hukum adat sudah diterima dalam perundangan Islam, maka sudah tentu adat mengenai harta sepencarian itu diterapkan melalui hukum adat Melayu, bukan melalui sumber perundangan terus.
Islam sudah menjelaskan kedudukan harta seseorang dan perkahwinan tidak sedikit pun menjejaskan hak milik harta dan tidak akan berpindah hak milik itu kepada suami atau kepada isteri.
Islam juga melarang keras suami atau isteri menggunakan harta milik masing-masing tanpa adanya kebenaran daripada pemilik sebenar harta itu.
Jika harta sudah bercampur aduk hingga tidak dapat dipastikan harta siapa yang ada dalamnya atau tidak diketahui harta siapa lebih banyak yang ada pada harta itu, maka dalam hal ini perlu adanya persetujuan yang baik antara kedua belah pihak.
Perdamaian dan persetujuan mendapat keredaan Allah amat penting dalam menentukan hak milik harta yang bercampur itu. Selain itu, pengakuan dan sumpah boleh digunakan bagi meyakinkan status harta itu dan mahkamah adalah berhak untuk memutuskannya.
Harta yang diperoleh dengan usaha bersama atau sebahagian boleh diputuskan berdasarkan sumbangan seperti yang dinyatakan dalam Undang-undang Keluarga Islam. Harta itu boleh dinilai dan dibahagikan mengikut nilai semasa, selepas ditolak segala hutang-piutang dan nafkah anak yang masih dalam tanggungan pihak tertentu itu.
Bagi harta yang diperoleh melalui usaha tunggal suami atau isteri, ia perlu dibuktikan melalui sumbangan sehingga terhasilnya harta itu. Bahagiannya juga sudah tentu lebih banyak daripada yang tidak berusaha melakukan kerja hingga terhasilnya harta.
Jika tidak ada keterangan dan pembuktian jelas yang menunjukkan harta yang dikumpulkan oleh suami atau isteri itu adalah hasil usaha dan sumbangan bersama atau salah seorang diri isteri atau suami, harta itu tidak boleh dikatakan harta sepencarian.
Mahkamah mempunyai kuasa mutlak untuk memutuskan pembahagian harta suami isteri, berapa jumlah dan nilaian yang diperoleh adalah bergantung kepada jumlah sumbangan yang dilakukan.
Jumlah separuh (1/2) akan dibahagikan daripada harta yang dihasilkan.
Jika ada keterangan harta itu hasil usaha bersama tetapi jika salah seorang saja yang menghasilkannya, maka satu pertiga atau jumlah yang lebih kecil daripada harta itu mesti diberikan kepada yang tidak menghasilkannya dengan syarat keterangan dapat dikemukakan bahawa harta yang dihasilkan suami atau isteri itu disebabkan oleh sokongan dan dorongan suami atau isteri.
Jika tidak dapat dibuktikan dan memang sah tiada sumbangan yang diberikan, maka sudah tentu tidak ada apa-apa bahagian bagi pihak yang tidak menghasilkan harta itu. - Bersambung
"Boleh jd kamu membenci sesuatu pdhal ia amat baik bgmu dan boleh
jadi pula kamu menyukai sesuatu pdhal ia amat buruk bg kamu.