Persaudaraan Yang Luhur
Dua potong ayat di dalam surah al-Hasyr iaitu ayat sembilan dan ayat sepuluh menjadi isi perbincangan kali ini Insya Allah.
Ayat sembilan yang membawa maksud penduduk Madinah (kaum Ansar) menerima kedatangan saudara mereka seugama dan satu jamaah serta satu saf iaitu kaum Muhajirin dari Makkah dengan penuh rasa persaudaraan dan tidak mempunyai secebispun di hati mereka rasa dengki dan iri hati terhadap apa yang Rasulullah s.a.w. anugerahkan kepada saudara mereka da...
Persaudaraan Yang Luhur
Dua potong ayat di dalam surah al-Hasyr iaitu ayat sembilan dan ayat sepuluh menjadi isi perbincangan kali ini Insya Allah.
Ayat sembilan yang membawa maksud penduduk Madinah (kaum Ansar) menerima kedatangan saudara mereka seugama dan satu jamaah serta satu saf iaitu kaum Muhajirin dari Makkah dengan penuh rasa persaudaraan dan tidak mempunyai secebispun di hati mereka rasa dengki dan iri hati terhadap apa yang Rasulullah s.a.w. anugerahkan kepada saudara mereka dari kaum Muhajirin. Malah ayat ini juga mencatatkan peristiwa yang amat penting dalam konteks iman seorang muslim dan tahap persaudaraan yang amat luhur iaitu Ithar.
Ithar adalah mengutamakan saudara kita terhadap sesuatu yang AMAT kita sayangi.Semuga netters telah mendengar kisah atau sebab turunnya ayat ini.Dan di akhir ayat tersebut Allah menyebut bahawa sesiapa yang dapat mengikis sifat kikir dalam dirinya, itulah orang yang beruntung.Kikir lebih dahsyat dari bakhil di mana orang yang bakhil adalah orang yang kedekut untuk berbelanja terhadap apa yang dimilikinya sementara kikir adalah orang yang kedekut sebelum memiliki harta tersebut lagi. Dengan kata lain, sebelum memperolehi sesuatu, ia sudah membayangkan bahawa ia tidak mahu membelanjakan harta tersebut. Itulah kikir atau shahih dalam bahasa Arab.
Ayat ke sepuluh pula membicarakan tentang mereka yang datang ke Madinah selepas itu, mereka yang telah disirami dengan ruh keimanan yang tinggi di mana mereka ini mendoakan kepada saudara mereka kebaikan dan memohon dari Allah supaya tidak menjadikan di sana ada belenggu dalam diri mereka terhadap saudara mereka kerana ini akan mengeruhkan persaudaraan yang luhur lagi sejati.
Ayat ini hendaknya selalu menjadi peringatan kepada kita untuk kita memperteguhkan saf jamaah dalam kerja-kerja dakwah ini. Saudara seperjuangan inilah sebenarnya yang sama-sama menangisi dan meratapi sesuatu musibah, mereka jugalah yang sama-sama bergembira, bersyukur dan sentiasa ceria akan sesuatu kejayaan atau kemenangan yang diperolehi.
Dengan adanya sifat begini, kerja dakwah dapat berjalan laju dan semangat untuk terus ke hadapan dan berhadapan dengan apa jua rintangan akan lahir. Kita menyedari bahawa kita dilingkungi saudara seugama dan sefikrah yang akan sama-sama menentukan jatuh bangunnya perjuangan ini.
Kita akan meyakini bahawa saudara yang sebelah kita adalah orng yang paling rapat dengan kita, yang telus segala-galanya kecuali apa yang dilarang oleh Allah, yang tidak mempunyai sedikitpun dalam dirinya perasaan yang tidak baik seperti yang digambarkan oleh Allah dalam ayat di atas.
Adalah sangat menakjubkan bahawa penduduk Madinah ketika itu, iaitu Ansar adalah hadithul ahdi (baru sahaja memeluk Islam) tetapi tahap keimanan mereka telah mencapai tahap ithar. Ini memberikan pengajaran yang sangat besar kepada kita bahawa untuk menjadi muslim yang soleh lagi musleh (pinjam istilah Abu 'Urwah) bukanlah ditentukan oleh faktor masa. Ia sangat bergantung kepada sejauh mana seseorang muslim itu ikhlas dalam usahanya untuk mencapai apa yang dihajatinya.
Tidak lengkap rasanya kalau tidak membicarakan topik ini dari perspektifnya yang amali. Maksud saya, kita cuba memerhatikan dari apa yang kita perolehi dari ayat di atas dengan apa sebenarnya yang berlaku dalam kehidupan kita terutamanya dalam kehidupan dakwah.
Saya cuba memaparkan di sini apa yang saya perhatikan sepanjang penglibatan saya dalam kerja dakwah yang tak seberapa ini samada di tanah air mahupun di luar negeri. Tujuan pemaparan ini terutamanya adalah untuk diri saya sendiri dan seterusnya untuk dikongsi bersama bersama netters sekelian.
Saya melihat persaudaraan yang wujud dalam saf mereka yang berjuang dalam dakwah ini amat memberangsangkan sekali. Inilah mungkin nikmat yang diperolehi hasil dari usaha kita selama ini cuba menjejaki sirah Rasululllah s.a.w. dalm meneruskan dakwah Islamiyyah di atas muka bumi ini. Pengalaman yang dilalui menunjukkan ramai saudara seperjuangan saya yang begitu prihatin akan saudaranya yang seugama dan seperjuangan hinggakan ada yang mengatakan persaudaraan mereka itu persaudaraan yang berkekalan sampai mati. Mereka yang mengatakan demikian tidaklah perlu kita ketahui tapi yang jelasnya fenomena tersebut wujud dalam kalangan mereka yang berjuang di jalan Allah ini.
Hendaknya kita bersyukur akan keadaan ini kerana dengan kesyukuran itu, Allah akan menambahkan lagi apa yang dianugerahkannya selama ini. Harapan saya semuga netters sekelian tidak rimas dengan pandangan saya ini kerana ini pandangan saya sahaja yang tidak berdasarkan kepada apa-apa firasat, sekadar pandangan.
Namun dalam memberikan pandangan yang positif ini, saya juga tidak terkecuali untuk memberikan pandangan yang negatif. Saya melihat di sana masih ada lubang-lubang yang masih boleh diperbaiki dalam memupuk ruh persaudaraan untuk membolehkan kita mencapai tahap yang tertinggi dalam persaudaraan. Antara lubang-lubang yang boleh menjerluskan kita kepada terurainya sedikit demi sedikit persaudaraan apabila ada sesetengah dari kita yang masih mempunyai prasangka kepada saudaranya.
Walaupun kadangkala dijustifikasikan prasangka itu untuk kebaikan, tapi prasangka itu sudah cukup sebenarnya untuk meruntuhkan saf jamaah dan mewujudkan puak-puak di kalangan kita. Prsangka tidak sama sekali harus berlaku kerana seorang saudara itu hendaklah membersihkan dirinya dari mempunyai prasangka terhadap saudaranya. Ini adalah keperluan asas. Kalau asas ini tidak dijaga, yang lain tidak akan dapat dikawal.
Amat menyedihkan umpamanya prasangka berlaku di kalangan pimpinan sendiri yang merupakan tahap tertinggi dalam saf jamaah. Amat menyedihkan juga apabila ada ahli yang mempunyai prasangka kepada pimpinan yang dipilih melalui syura dan menanggung amanah yang mat besar untuk sesuatu jamaah itu. Sangat menyedihkan juga apabila mereka dari timur mempunyai prasangka kepada mereka dari barat dan begitulah sebaliknya. Ini adalah bibit-bibit ke arah terurainya persaudaraan dan seterusnya menjadi wabak dalam saf jamaah.
Tidaklah saya ingin memanjangkan perkara ini sebagaimana juga saya tidak mahu hanya mengkritik tanpa memberikan cadangan penyelesaian.Penyelesaian amat jelas iaitu hendaklah berbaik sangka dan berbaik sangka ini akan dapat diwujudkan apabila persaudaraan teguh, utuh dan luhur serta disirami sentiasa oleh peringatan dan tazkirah Rabbaniyyah yang boleh menyegarkan jiwa yang antara yang terutamanya ialah mendalami intipati al Qur'an itu sendiri dan juga Sunnah Nabawiyyah. Ingatlah netters sekelian dalam jamah mana sekalipun kita berjuang, kita dituntut oleh ALLAH supaya sentiasa berbaik sangka dan tidak berprasangka. Sila rujuk ayat di dalam surah al- Hujurat untuk menjadi dalil kepada kenyataan ini.
Setakat ini dahulu peringatan ringkas buat diri saya dan moga-moga dikongsi bersama netters sekelian di hujung minggu yang hening ini.
Wassalam,
HaRi Ini EsOk dAn SeLaMaNyA.....
Allahuakhbar!AllahuakhbaAllahuakhbar!r!
HaRi Ini EsOk dAn SeLaMaNyA.....