Keamanan dicabuli, kesabaran diuji
PRINSIP toleransi Islam, yang mewujudkan kedamaian antara agama di bawah satu bumbung, bukan hanya berlaku dalam waktu aman tetapi dihormati dan diamalkan serta ditegakkan dalam waktu keamanan dicabuli.
Dar Al-Islam tidak terlepas daripada anasir jahat yang bukan hanya ingin menggugat keamanan yang telah dapat diwujudkan, bahkan ingin menggugat kelangsungan negara itu sendiri.
Ancaman luaran datang dari kaum musyrikin Quraisy yang api permusuhannya t...
Keamanan dicabuli, kesabaran diuji
PRINSIP toleransi Islam, yang mewujudkan kedamaian antara agama di bawah satu bumbung, bukan hanya berlaku dalam waktu aman tetapi dihormati dan diamalkan serta ditegakkan dalam waktu keamanan dicabuli.
Dar Al-Islam tidak terlepas daripada anasir jahat yang bukan hanya ingin menggugat keamanan yang telah dapat diwujudkan, bahkan ingin menggugat kelangsungan negara itu sendiri.
Ancaman luaran datang dari kaum musyrikin Quraisy yang api permusuhannya terhadap Islam tidak pernah mengecil meskipun orang-orang Islam sudah berhijrah ke Madinah.
Ancaman dalaman pula timbul dari pihak-pihak yang ingin mencabuli ikatan perjanjian dan kesetiaan yang menjadikan warga Dar Al-Islam satu umat yang satu.
Pencabulan perjanjian dan kesetiaan ini antaranya datang daripada orang-orang Yahudi. Sebelum itu, biar kita susuri sedikit sejarah orang Yahudi di Madinah.
Dr Israel Velavonson menulis: "Setelah berakhir peperangan antara orang-orang Yahudi dengan orang-orang Rom pada tahun 70 Masihi yang berakhir dengan kehancuran Palestin dan pusat peribadatan Yahudi di Baitulmakdis, orang Yahudi mula berhijrah ke seluruh pelosok dunia. Sebahagian besar daripada mereka berhijrah ke Jazirah Arab (terutama Madinah)."
Di Madinah terdapat tiga suku atau kabilah Yahudi iaitu Banu Qainuqa, Banu Nadhir dan Banu Quraizah. Ketiga-tiga kabilah ini saling bermusuhan antara satu sama lain.
Permusuhan antara Banu Qainuqa dengan kabilah yang lain disebabkan oleh Banu Qainuqa pernah mengadakan persahabatan dengan orang Arab Khazraj.
Banu Nadhir dan Banu Quraizah sering mengadakan serangan yang bertubi-tubi terhadap Banu Qainuqa. Kalau ada tawanan, ia akan ditebus dengan harta. Hal ini dirakamkan dalam Al-Quran yang bermaksud:
Dan (ingatlah) ketika Kami mengambil janji daripada kamu iaitu kamu tidak akan menumpahkan darah kamu (membunuh orang), dan kamu tidak akan mengusir diri kamu (saudara sebangsa) daripada kampung halaman kamu, kemudian kamu berikrar (akan memenuhi) sedang kamu mempersaksikan.
Kemudian kamu (Bani Israel) membunuh diri kamu (saudara sebangsa) dan mengusir segolongan dari kamu daripada kampung halaman mereka, kamu bantu-membantu terhadap mereka dengan membuat dosa dan permusuhan, tetapi kalau mereka datang kepada kamu sebagai tawanan kamu tebus mereka padahal mengusir mereka itu (juga) terlarang bagi kamu. (Surah Al-Baqarah: 84-85)
Banu Qainuqa telah diusir ke luar kota Madinah. Ketiga-tiga kabilah ini tinggal di perkampungan mereka yang terasing dan berbenteng. Keadaan ini digambarkan dalam Al-Quran yang bermaksud:
Mereka tidak akan memerangi kamu bersama-sama melainkan dalam desa-desa yang berbenteng kuat atau di balik dinding. (Surah Al-Hasyr: 14)
Mereka membayar wang perlindungan kepada ketua-ketua kabilah Arab sehingga mereka aman dari gangguan orang-orang Badui, selain mereka mengikat perjanjian damai dengan kabilah-kabilah Arab itu.
Sewaktu berdirinya Dar Al-Islam, perjanjian damai dengan Rasulullah saw mengambil tempat perjanjian-perjanjian di atas dan perlindungan terhadap mereka diberikan oleh Dar Al-Islam.
Orang-orang Yahudi mendirikan pusat-pusat ilmu dan tempat-tempat ibadat mereka sendiri di Madinah. Tempat-tempat ini kekal di bawah Dar Al-Islam.
Orang-orang Yahudi mempunyai tatacara dan hukum tersendiri. Sebahagiannya diambil dari kitab suci mereka dan sebahagian yang lain diambil dari pentafsiran ketua-ketua agama mereka. Rasulullah saw pernah merujuk kepada mereka untuk mengetahui ketetapan hukum mereka.
Mata pencarian orang-orang Yahudi pada umumnya banyak yang diperolehi melalui riba dan pajak gadai. Riba adalah satu bentuk penindasan dan pemerasan. Kebencian orang-orang Arab Madinah (Aus dan Khazraj) terhadap orang-orang Yahudi tidak lain ialah kerana riba yang memeras mereka.
Oleh sebab itu Allah swt mengharamkan riba. Dar Al-Islam menghapuskannya dan mengisytiharkan urusan yang mengandungi unsur riba sebagai satu pemberontakan dan pencabulan.
Ketiga-tiga kabilah Yahudi telah mencabuli perjanjian dengan Rasulullah saw secara berturutan. Pencabulan pertama dilakukan oleh Banu Qainuqa, sejurus selepas perang Badar. Mereka tidak berasa senang dengan kemenangan orang-orang Islam.
Menurut riwayat, seorang wanita Arab telah pergi ke pasar Banu Qainuqa untuk mendapatkan khidmat tukang jahit. Wanita tersebut disuruh buka hijabnya tetapi beliau enggan. Tukang jahit berkenaan lalu mengikat perca baju wanita itu ke belakangnya. Apabila dia bangun, terdedahlah auratnya.
Orang-orang Banu Qainuqa yang berada di situ ketawa beramai ramai. Perbuatan mereka ini dibantah oleh seorang Muslim. Pertengkaran kemudian berlaku sehingga berlaku pertumpahan darah dan kematian orang Islam tersebut. Ini merupakan pencabulan terhadap perjanjian damai dan perlindungan nyawa dan harta.
Banu Qainuqa menjangkakan perang akan berlaku. Mereka lalu berkata dengan sombong kepada Rasulullah saw: "Hai Muhammad! Engkau jangan terpedaya dengan kemenangan yang engkau capai dalam perang dengan kaum Quraisy. Kalau kamu berperang dengan kami, kamu akan tahu bagaimana getirnya perang itu."
Tetapi perang bukanlah cara Islam. Rasulullah saw sekadar mengepung perkampungan mereka yang berbenteng selama 15 hari. Akhirnya mereka menyerah kepada keputusan Rasulullah saw. (Perjanjian menyebutkan bahawa apa-apa pertengkaran antara pihak-pihak dalam perjanjian hendaklah dirujuk kepada Allah swt dan Rasul-Nya untuk keputusan).
Ketua kaum munafik, Abdullah bin Ubai bin Salul, telah berusaha meminta keringanan dari Rasulullah saw dalam hukuman ke atas Banu Qainuqa. Atas prinsip toleransi Islam, Rasulullah saw telah membebaskan Banu Qainuqa dengan syarat mereka keluar dari Madinah dan tidak tinggal berhampiran.
Banu Qainuqa lalu keluar menuju ke pinggir negeri Syam dengan meninggalkan harta benda mereka. Tidak merasalah mereka betapa getirnya perang, kerana Islam yang toleran.
HaRi Ini EsOk dAn SeLaMaNyA.....